03 June 2014

Bengkel Khidmat Bantu ICT SK Bukit Jalil


Laporan Bengkel Khidmat Bantu Penyenggaraan & Naik Taraf Sistem Rangkaian Setempat (LAN) SK Bukit Jalil

Bertempat di Makmal Komputer SK Bukit Jalil, telah berlangsungnya bengkel khidmat bantu rangkaian setempat (LAN) yang dikelolakan bersama oleh BTPNKL dan PKG Bangsar. Seramai 15 orang peserta termasuk terlibat di dalam bengkel ini. Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk baikpulih serta naik taraf sistem rangkaian setempat (LAN) di makmal komputer 1 dan 2 serta di Pusat Akses. Bagi meningkatkan tahap penggunaan 1BestariNet di sekolah, penambahan rangkaian (LAN) juga dibuat di   pejabat sekolah, bilik Guru Besar, bilik Guru-guru Penolong Kanan sekolah, bilik Setiausaha Peperiksaan (SUP), wireless local area network (WLAN) dibilik guru serta di perpustakaan sekolah. Selain itu, pemasangan Wireless Network Access Point dengan menggunakan teknologi MikroTik RouterOS juga dipasang bagi memudahkan warga SK Bukit Jalil melayari internet samada melalui komputer riba mahupun telefon pintar. Disamping itu juga, bengkel ini dapat dijadikan sebagai penanda aras bagi program khidmat bantu ICT di sekolah-sekolah yang lain pada masa akan datang.
Pada pukul 8.30 pagi, bengkel khidmat bantu ini dimulakan dengan sesi pendaftaran oleh para peserta. Selaku pengendali program, ucapan alu-aluan kepada para peserta telah disampaikan oleh En. Mohd Seth Bin Yusof, Juruteknik Komputer PKG Bangsar. Seterusnya, taklimat ringkas berkenaan spesifikasi kerja telah disampaikan oleh Abd. Halim Bin Abu Samah, Pegawai Teknologi Pendidikan BTPNKL. Selepas minum pagi, kerja-kerja penyenggaraan dan pemasangan rangkaian dijalankan mengikut pecahan kumpulan yang telah ditetapkan. Bagi memudahkan Pn. Jamaliza Bt. Abdul Aziz, Guru Penyelaras Bestari (GPB) menyediakan laporan penggunaan komputer, aplikasi Sistem Login (SisLog) dipasang pada setiap komputer peribadi di Makmal Komputer 1 dan 2  serta di Pusat Akses.
Setelah kerja-kerja terakhir iaitu pengujian dan kekemasan diselesaikan, satu majlis penutup dan penyampaian sijil penghargaan kepada BTPNKL dan PKG Bangsar telah dibuat oleh pihak sekolah sebagai tanda terima kasih di atas bengkel khidmat bantu ini. Secara keseluruhannya, bengkel khidmat bantu ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah kepada PKG Bangsar dan BTPNKL telah memudahkan bengkel khidmat bantu ini dijalankan. Disamping itu juga, komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta dan sikap sentiasa ingin membantu antara sebab bengkel ini berjalan lancar.

Reaksi positif yang diterima  juga menunjukkan bahawa bengkel seumpama ini wajar diteruskan di semua sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan agar semua sekolah di Kuala Lumpur tidak lagi mengalami masalah gangguan capaian internet  ataupun masalah tiada rangkaian dan seterusnya penggunaan 1BestariNet dapat digunakan dengan sepenuhnya. Selaku penganjur program, pihak PKG Bangsar mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para peserta dan pihak sekolah di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini. Turut disertakan beberapa keping gambar sepanjang tiga hari bengkel berjalan.