27 February 2013

Bengkel Pengurusan Aktiviti PSS 2013



LAPORAN BENGKEL PENGURUSAN AKTIVITI PUSAT SUMBER
SEKOLAH AHLI PKG BANGSAR TAHUN 2013


Tarikh                 : 26 Februari 2013
Tempat              : Bilik Kuliah, Pusat Kegiatan Guru Bangsar
Urusetia            : Pusat Kegiatan Guru Bangsar 
Peserta             : Guru Perpustakaan Media Sekolah Ahli




        Bertempat di Bilik Kuliah Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bangsar, telah berlangsungnya Bengkel Pengurusan Aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS) bagi tahun 2013. Bengkel yang dikendalikan PKG Bangsar bersama Unit PSP BTPNKL ini telah dihadiri seramai 50 orang Guru Perpustakaan Media (GPM) sekolah ahli PKG Bangsar. Objektif utama bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan tentang pengurusan serta aktiviti PSS bagi tahun 2013 disamping mengumpul maklumat terkini senarai GPM sekolah ahli bagi tahun ini.

        Antara maklumat yang disampaikan ialah pengisian maklumat GPM secara online, pengisian data secara online dalam aplikasi i-Nilam dan iQ-PSS. Selain itu, turut disampaikan dalam taklimat tersebut adalah seperti, Pelupusan Bahan Perpustakaan yang merangkumi Kriteria Pelupusan, Tatacara Pelupusan, Kaedah Pelupusan serta penggunaan borang bagi tujuan tersebut.

  Secara keseluruhannya, Bengkel Pengurusan Aktiviti PSS di PKG Bangsar telah berjalan dengan lancar dan reaksi yang diberikan oleh para peserta menunjukkan impak yang positif. Rata-rata peserta memahami tentang maklumat yang disampaikan. Diharapkan agar taklimat seperti ini dapat dilakukan dari masa ke semasa bagi membantu GPM dari segi pengurusan dan pelaksanaan dengan lebih cekap.

26 February 2013

Taklimat Inisiatif ICT 2013

LAPORAN TAKLIMAT INISIATIF ICT PKG BANGSAR 2013

Tarikh                 : 25 Februari 2013
Tempat               : Bilik Kuliah, Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bangsar
Urusetia              : PKG Bangsar
Peserta               : Guru Penyelaras Bestari (GPB) / Guru ICT (GICT) Sekolah Ahli


        Bertempat di PKG Bangsar, satu sesi taklimat khas berkenaan Inisiatif ICT telah berlangsung. Taklimat tersebut adalah kerjasama antara BTPNKL dan PKG Bangsar sendiri. Seramai 50 orang peserta terdiri daripada GPB dan GICT sekolah ahli PKG Bangsar telah hadir dalam taklimat ini. Objektif utama taklimat ini diadakan adalah untuk menyampaikan maklumat terkini berkenaan tatacara pengurusan ICT untuk tahun 2013 disamping mengumpul maklumat terkini GPB dan GICT sekolah ahli bagi tahun ini.

          Taklimat yang bermula pada jam 8.30 pagi ini, telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh En. Zaini Bin Mohd Endot, Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Bangsar merangkap urusetia program. PKG Bangsar telah menjemput dua orang pegawai BTPNKL iaitu, En. Abd Halim Bin Abu Semah dan En. Abd Hamid Bin Abdullah, Pegawai Teknologi Pendidikan dari Unit ICT BTPNKL untuk hadir bersama memberi taklimat tersebut. Antara maklumat yang disampaikan adalah Skop Pemantauan ICT secara menyeluruh yang merangkumi data ICT sekolah, SSQS, VLE Frog, 1Bestarinet, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta Pengurusan dan Keceriaan Makmal Komputer atau Pusat Akses. Selain itu, turut dinyatakan pada taklimat tersebut adalah seperti, panduan untuk mewujudkan sistem fail yang seragam, senarai semak bagi pengurusan makmal serta aduan kerosakan peralatan ICT. Sebelum taklimat berakhir sesi soal jawab telah dibuat bagi mendapatkan maklumbalas dari GPB dan GICT sekolah ahli.

       Secara keseluruhannya, taklimat inisiatif ICT PKG Bangsar telah berjalan dengan lancar dan reaksi yang diberikan oleh peserta menunjukkan impak yang positif. Rata-rata guru faham tentang tatacara pengurusan inisiatif ICT yang disampaikan. Diharapkan agar taklimat seperti ini dapat dilakukan dari masa ke semasa agar dapat membantu GPB dan GICT dari segi pengurusan dan pelaksanaan dengan lebih cekap.